Sedang merancang percutian ke Seremban, Negeri Sembilan tetapi masih buntu idea tentang tempat-tempat menarik yang ada di sana? Jangan risau, kami senaraikan 5 tempat terbaik yang boleh anda kunjungi di Seremban bersama keluarga, rakan-rakan dan juga insan tersayang. Seremban merupakan ibu kota kepada Negeri Sembilan, mengambil masa kira-kira sejam perjalanan dari Kuala Lumpur. Jauh dari kesibukan dan kesesakan bandar raya, Seremban terkenal dengan sejarah budaya Minangkabau mereka, maka anda akan dapat melihat beberapa bangunan di Seremban bersenibinakan budaya Minangkabau, seperti Majlis Perbandaran Seremban, Wisma Negeri dan juga Muzium Negeri Sembilan. Teruskan membaca untuk mengetahui lebih banyak destinasi-destinasi menarik di ibu kota Negeri Sembilan ini.
Selain ke pusat membeli-belah, apa kata kita singgah di Muzium Negeri Sembilan yang terletak bersebelahan dengan lebuhraya PLUS ini pula. Terletak selepas susurkeluar Seremban/Labu. Bercirikan senibina Minangkabau, bentuk bumbung muzium ini dilihat seperti “tanduk kerbau”. Di muzium ini, anda dapat melihat pelbagai artifak sejarah berkenaan Negeri Sembilan, marilah kita mengenali budaya dan adat nenek moyang kita yang semakin dilupakan ditelan zaman. Bukan itu sahaja, anda juga akan dapat memperingati sejarah Negeri Sembilan dari segi budaya, asal-usul, susur galur pemerintahan dan perkembangan dari zaman ke zaman. Tahukah anda, keunikan Negeri Sembilan berbanding dengan negeri lain boleh dilihat dari cara mereka melantik pemimpin tertinggi?
Inilah masa yang sesuai untuk anda menambah ilmu pengetahuan tentang negeri bersejarah ini. Masuk adalah percuma, jadi anda bukan sahaja dapat menambah pengalaman baru malah anda tidak perlu mengeluarkan kos pun untuk meluangkan masa bersama keluarga di sini.
Alamat: 2021, Jalan Sungai Ujong, Kemayan Square, 70200 Seremban, Negeri Sembilan
Bayaran Masuk: Percuma
Waktu Operasi: 9.00am – 5.00pm. Isnin tutup.
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 06-767 0707
Masjid Sri Sendayan merupakan masjid terbesar di Negeri Sembilan. Begitu unik sekali reka bentuk dan seni bina masjid ini, sehinggakan digelar sebagai Taj Mahal, Masjid Nabawi, dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah oleh pengunjung yang datang melawat. Dibina dengan kos melebihi RM100 juta, hasil seni dan arkitek yang terlibat dalam penghasilan masjid ini datang sepenuhnya dari luar negara seperti Mesir, Turki, Dubai, Maghribi dan China. Seni bina yang terdapat di Masjid Sri Sendayan ditempah khas, termasuk ukiran kayu pada dinding, tulisan khat serta penggunaan bongkah jubin sebagai dinding berhampiran mimbar.
Terletak hanya 10 minit dari Seremban, tempat ini menjadi hot spot untuk bakal pengantin baru bergambar. Tahukah anda, masjid ini diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abdul Rashid Hussain? Jangan terlepas peluang untuk singgah solat maghrib dan bergambar di Masjid Sri Sendayan apabila anda datang mengunjungi Seremban.
Alamat: Masjid Sri Sendayan, Persiaran Idaman Villa, Bandar Sri Sendayan, 71950 Siliau, Negeri Sembilan
Bayaran Masuk: Derma tabung masjid seikhlas hati
Waktu Operasi: 5.00am – 10.00pm setiap hari
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pengunjung | Phone: 019-6969871
Centipede Temple (Tokong Lipan) atau lebih dikenali sebagai Then Tze Koon Temple ini menawarkan pemandangan indah seluruh bandar Seremban untuk pengunjung yang datang! Tokong yang berusia 140 tahun ini bertempat di puncak Bukit Wu Gong (Bukit Jung). Kemashyuran dan kecantikan tokong ini menjadi daya tarikan utama pengunjung dari seluruh Malaysia, malah dari luar negara pun ada. Untuk menikmati angin sepoi-sepoi bahasa di tokong ini, anda harus mendaki sebanyak 264 anak tangga sebelum tiba di Centipede Temple.
Lagenda menceritakan bahawa pernah ada seorang pemuda yang meninggalkan rumahnya untuk mencari kemasyhuran dan kekayaan. Dia berjaya mencapai impiannya tetapi apabila dia pulang ke rumah, dia tidak menunjukkan rasa syukur malah dia derhaka kepada ibunya. Tuhan murka dengannya dan menghukum pemuda itu dengan mengubahnya menjadi sebuah ‘kapal batu’ yang tidak boleh berlayar dan menempatkannya di Bukit Jung. Kemudian, seekor lipan sentiasa kelihatan berkeliaran di sebelah batu tersebut dan orang ramai menganggap bahawa lipan ini adalah penjelmaan semula ibu lelaki muda itu. Sehingga ke hari ini, sesiapa yang dapat menemukan serangga lipan di sini dipercayai akan mendapat tuah dan juga kekayaan.
Alamat: Jalan Temiang, 70200, Seremban, Negeri Sembilan, Malaysia, 70200 Seremban
Waktu Operasi: 8.00am – 6.30pm setiap hari
Lokasi | Facebook | Ulasan Pengunjung | Phone: 010-3105880
Sudah puas melawat tempat-tempat menarik dan bersejarah di Seremban, kini tibalah pula masa untuk beriadah bersama keluarga di petang hari. Taman Rekreasi Air Seremban, yang dahulu dikenali sebagai Taman Tasik Seremban, merupakan hasil usaha Majlis Bandaraya Seremban menaiktaraf taman tersebut untuk kemudahan penduduk dan pengunjung yang datang. Kerajaan negeri telah mengeluarkan modal sebanyak RM340,000 untuk pembaharuan taman itu dengan tujuan menggalakkan aktiviti beriadah sekaligus menjadi daya tarikan untuk pelancong luar yang datang ke Malaysia. Taman Rekreasi Air Seremban menawarkan 7 jenis permainan air untuk dicuba seisi keluarga seperti Swam Pedal Boats, Duck & Swam, Becha, Water Bike & Kayak. Permainan-permainan ini sangat sesuai untuk para ibu bapa yang ingin membawa anak kecil yang suka bermain, di sambil meluangkan masa berkualiti bersama.
SOP yang ketat juga dijalankan kepada pengunjung yang datang ke Taman Air Rekreasi Seremban. Sebelum anda membeli tiket masuk, pastikan anda sudah menerima suntikan vaksin lengkap dan check-in MySejahtera dahulu. Pemakaian jaket keselamatan juga adalah wajib kepada pengunjung yang ingin bermain permainan air di sini.
Alamat: Seremban, 70000 Seremban, Negeri Sembilan
Bayaran Masuk: Mengikut senarai harga permainan ai
Waktu Operasi: 3.00pm – 7.00pm, Sabtu & Ahad 9.ooam – 7.00pm
Lokasi | Laman Web | Facebook | Ulasan Pelancong | Phone: 011-1008 9049
Kalau anda ke Seremban 2 dan tidak tahu hendak ke mana, bolehlah cubaberiadah di Hill Park Seremban 2 Height. Taman ini sesuai untuk aktiviti beriadah keluarga dan bersantai dengan melakukan aktiviti luar. Terdapat 3 zon di Hill Park ini, zon 1 (hijau), zon 2 (biru) dan zon 3 (merah jambu). Zon 1 merupakan taman permainan untuk kanak-kanak kecil. Manakala zon 2 ialah zon dinosor bagi yang gemar mengambil gambar. Zon 3 pula adalah tempat untuk bersantai bersama keluarga sambil menikmati udara yang dingin di atas bukit serta pemandangan yang indah dari ketinggian 162 meter di atas dasar laut.
Pengunjung yang datang dari Lebuhraya KL-Seremban (PLUS) masuk ke Seremban (Exit 218) dan seterusnya ke arah jusco Seremban 2 dan terus sahaja dan akan nampak papantanda IJM Hill Park Seremban 2
Peta Lokasi | Jarak | 06-7613888| Facebook